Friday, July 30, 2010

Mengenai Kesuburan

Wanita dan Kesuburan

Bilakah Waktunya Tahap Terbaik Kesuburan Wanita?

Dan Bagaimanakah Caranya Untuk Mengenal Pasti Masalah Kesuburan Di Kalangan Wanita?

Secara umumnya wanita subur sebaik sahaja dia mencapai akil baligh iaitu apabila haid pertamanya keluar. Biasanya kanak-kanak perempuan mencapai akil baligh dalam lingkungan umur 12 tahun.

Lumrahnya, bagi seorang wanita, tempoh kesuburan berlangsung sehingga seseorang wanita mencecah umur 48 tahun iaitu sehingga berlaku putus haid (monopaus). Oleh itu dalam jangkamasa 36 tahun waktu subur tersebut, bagi wanita yang berumahtangga akan mengalami beberapa kali kehamilan dan kelahiran.

Kesuburan seseorang wanita berkait dengan keupayaan mengeluarkan telur atau benihnya. Benih perempuan akan keluar sekali dalam satu pusingan haid dan pada waktu tertentu sahaja.

Terdapat beberapa cara atau kaedah bagi menentukan seseorang wanita itu mengeluarkan benih atau tidak dan bilakah masanya benih tersebut keluar. Waktu mengeluarkan benih inilah waktu subur atau pun disebut sebagai fertile period.

Oleh itu bagi pasangan yang inginkan cahaya mata, inilah masa yang sesuai untuk melakukan hubungan seksual atau persetubuhan atau sebaliknya elakkan hubungan bagi yang merancang untuk tidak ingin hamil.


Waktu subur boleh dikenalpasti sendiri melalui:

1. Pusingan Haid (menstruasi):

Bagi seseorang wanita yang mempunyai pusingan haid yang teratur setiap bulan biasanya subur. Pegeluaran benih akan berlaku pada hari ke-13 atau 14 (dikira dari hari pertama darah haid keluar).

Satu pusingan haid - ianya dikira dari hari pertama keluar haid hinggalah sehari sebelum haid datang semula. Ianya meliputi jangka masa 28 ke 30 hari.

Oleh yang demikian adalah penting bagi setiap wanita yang inginkan cahaya mata senantiasa merekod tarikh bagi keluaran haid dalam buku catatan khas - yang mengandungi carta suhu badan.

Selain itu ada beberapa tanda yang biasanya berlaku pada masa keluaran benih seperti ada rasa sakit atau senak dibahagian bawah perut dan pengeluaran lendir yang berlebihan dari kemaluan. Kadangkala lendir ini berwarna coklat, jernih dan mudah dijalurkan atau stretchable dan rupanya seperti putih telur mentah. Sebaik sahaja lendir keluar, lendir bertukar bentuk menjadi lebih kesat dan pekat.


2. Catatan Suhu Badan:

Catatan suhu perlu dilakukan dengan menggunakan jangka suhu atau thermometer khas yang digelar "ovulation thermometer". Catatan suhu badan ini perlu dilakukan sebaik sahaja bangun dari tidur (sebelum mandi). Persediaan awal perlu dilakukan pada malam sebelumnya iaitu dengan menggoncangkan thermometer supaya tanda raksa akan turun ke paras yang paling rendah. Apabila hendak mengambil suhu badan, thermometer tersebut perlu dimasukkan ke dalam mulut selama dua atau tiga minit. Catatan suhu badan ini sepatutnya dilakukan setiap hari kecuali pada masa datang haid.

Biasanya suhu badan akan turun sedikit pada hari pengeluaran benih dan sejurus kemudian ianya akan meningkat naik sebanyak 0.2 darjah celcius dan kenaikan suhu badan ini akan berlarutan sekurang-kurangnya 10 hari atau lebih. Sekiranya bentuk carta sedemikian tidak diperolehi maka seseorang wanita itu mungkin alami masalah tidak mengeluarkan benih dan seterusnya tidak boleh hamil.

Bagi seseorang wanita yang mengalami masalah gangguan haid tidak teratur atau kesukaran untuk hamil maka anda digalakkan menemui Dr. Sakit puan.


Sedikit tips, harap membantu :

Kesuburan isteri bermula dengan pengeluaran lendir seperti hingus dari faraj. Waktu suburnya ialah beberapa hari selepas dia terasa imbasan sengal di paras atas ari-ari. Adalah mustahak bagi setiap pasangan tahu mengenai waktu subur jika mereka inginkan zuriat.

Kebiasaannya memang air mani boleh mengalir keluar selepas suami menarik zakar keluar. Namun, ia boleh dielak jika isteri tidak mengemut faraj, sebaliknya isteri perlu mengembangkan corong faraj sambil mengekalkan posisi asal ketika bersetubuh tanpa meluruskan kaki.

Kemutan pada faraj mengakibatkan corong faraj kempis dengan pengeluaran angin yang akan menolak air mani. Isteri juga tidak digalakkan bangun dan bergerak ke tandas untuk membersihkan farajnya. Ini kerana ia akan menyebabkan air mani keluar dan sperma terdedah kepada air dan sabun yang akan mematikannya.

Isteri juga tidak digalakkan meletakkan kain pada faraj kerana ia akan menyerap air mani. Sebaik-baiknya gunakan tisu kering.


"Kadar kesuburan di Malaysia menurun berbanding 1990-an. Masalah ketidaksuburan itu menjejaskan antara 10 hingga 15 peratus pasangan di Malaysia"

(Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai)

"Kadar kesuburan di Malaysia adalah 2.6 bayi untuk sepasang suami isteri pada

2007 iaitu penurunan daripada kira-kira 3.6 bayi untuk satu pasangan pada 1990"

(Laporan Tabung Pendidikan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef))

"20% pasangan yang mendapatkan rawatan kesuburan tidak merancang hubungan kelamin pada masa-masa yang tepat disebabkan kurangnya pengetahuan tentang kesuburan"

(American Infertility Association( AIA))

"Dianggarkan bahawa 4.5 juta pasangan di US mengalami masalah ketidaksuburan setiap tahun. Kurang dari 2 juta daripada pasangan-pasangan ini yang mendapatkan bantuan khidmat nasihat dan rawatan kesuburan dari mana-mana pusat rawatan kesihatan. Ia adalah kurang dari separuh.

Dari jumlah tersebut, 90% daripada mereka dapat dikenalpasti masalah-masalah yang dialami melalui diagnosis yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang fertiliti."

(National Center for Health Statistics(NCHS), US)


No comments:

Post a Comment