Tuesday, May 17, 2011

Apakah Istihadah?

Pada umumnya, darah yang keluar dari rahim wanita dianggap darah haid kerana lazimnya mengalir mengikut putaran bulanan. Namun selain itu terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan darah itu keluar tidak mengikut putarannya, maka ia dianggap darah istihadah.

Apakah itu darah istihadah? Istihadah ialah darah yang keluar bukan pada waktu haid dan juga bukan dalam tempoh nifas. Menurut Syeikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin, istihadah ialah darah yang keluar terus-menerus pada seorang wanita tanpa henti sama sekali atau berhenti sebentar dalam sebulan.

Daripada takrif yang dikemukakan di atas, terdapat dua keadaan istihadah iaitu:

Keadaan pertama: darah yang keluar tanpa henti-henti.

Keadaan kedua: darah tidak keluar berterusan, sebaliknya berhenti seketika dan keluar semula.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.ha. bahawa Fatimah binti Abu Hubaisy berkata kepada Rasulullah s.a.w: “Ya Rasulullah, sungguh aku ini tak pernah suci, apakah aku perlu meninggalkan solat?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Tidak, itu adalah darah penyakit. Namun tinggalkan solat sebanyak hari yang biasanya kamu haid sebelum itu, kemudian mandilah dan lakukan solat.” (Riwayat al-Bukhari)

Manakala riwayat daripada Hamnah binti Jahsy, ketika datang kepada Rasulullah s.a.w., dia berkata: “Ya Rasulullah, sungguh aku sedang mengalami istihadah yang deras sekali.” (Riwayat al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Bagaimana Mengenali Istihadah

Masih ramai wanita terutamanya remaja yang masih keliru dalam membezakan antara darah haid dengan istihadah. Jadi, bagaimana hendak membezakan antara kedua-dua jenis darah ini? Berikut adalah empat keadaan istihadah:

1. Darah yang keluar kurang daripada had masa minimum haid iaitu sehari semalam.

2. Darah yang keluar melebihi had masa maksimum haid iaitu 15 hari.

3. Keluar darah sebelum umur minimum haid iaitu sebelum berumur 9 tahun.

4. Darah yang keluar lebih daripada tempoh maksimum nifas iaitu 60 hari.

Hukum-hukum Istihadah

Memandangkan istihadah bukan darah haid dan dianggap darah penyakit, maka hukum istihadah tidak menyamai hukum haid. Wanita yang mengalami istihadah tidak perlu mandi wajib. Mandi hanya perlu setelah tamat tempoh haid.

Bagi wanita yang berada dalam keadaan istihadah juga, mereka tetap wajib menunaikan solat seperti biasa. Namun mereka perlu berwuduk bagi setiap kali solat yang hendak ditunaikan. Ini berdasarkan saranan Rasulullah s.a.w. dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Kemudian berwuduklah kamu setiap kali hendak solat.” (Riwayat al-Bukhari)

Perlu diingat bahawa wanita mustahadah perlu berwuduk untuk satu solat, bukan satu wuduk untuk dua solat. Ini bermakna, wanita mustahadah tidak boleh “menyimpan” wuduk bagi solat Maghrib untuk digunakan dalam solat Isyak.

Selain itu, wanita mustahadah juga perlu membersihkan darah istihadah itu setiap kali sebelum berwuduk. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Hamnah yang bermaksud: “Aku beritahukan kepadamu (agar menggunakan) kapas kerana kapas dapat menyerap darah.” Hamnah berkata: “Darahnya lebih banyak daripada itu.” Baginda bersabda lagi yang bermaksud: “Gunakan kain.” Jawab Hamnah: “Darahnya masih banyak.” Baginda berkata lagi yang bermaksud: “Maka pakailah penahan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam konteks zaman kini, penahan yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah tuala wanita. Sekiranya telah dibersihkan darah istihadah dan ditukar dengan tuala wanita yang baru, darah tetap mengalir selepas berwuduk, maka wuduk tersebut tetap sah untuk satu solat.

Mungkin bagi wanita yang telah berumah tangga, mereka tertanya-tanya, apakah boleh mereka “bersama” suami? Menurut Syeikh al-Uthaimin, ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Sebahagian mereka berkata elok dielakkan selama mana tidak menyebabkan zina. Namun hakikatnya, tiada sebarang larangan pada zaman Rasulullah s.a.w. dan sahabat dalam hal ini. Jadi, berdasarkan hukum wanita mustahadah dibolehkan solat, maka Syeikh Uthaimin berpendapat bahawa mereka boleh bersama suami.

Rujukan:

Syeikh al-Uthaimin, fi al-Dima’ al-Tibbiyah li al-Nisa’.

Muhammad Athiyah Khumais, Fiqih Wanita.

Dr. Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal di Ahkam al-Mar’ah.

Sumber: SOLUSI