Saturday, August 21, 2010

Bahaya Senggugut

SENGGUGUT bukan sekadar kekejangan teruk ketika haid, tetapi ia turut menjadi petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis. Endometriosis adalah penyakit yang berlaku apabila tisu endometrium, iaitu tisu pengalas dinding rahim (yang sepatutnya tanggal ketika haid) tumbuh di luar rahim samada di ovari, tiub Fallopian, ligamen yang menumpang rahim atau di mana saja dalam rongga pelvik.

Tisu endometrium juga boleh berkumpul di hampir semua lokasi dalam badan, antaranya pundi kencing, usus, faraj, apendiks, rektum (dubur), parut pembedahan Caeserean (pembedahan ketika bersalin) termasuk tempat terpencil seperti otak, saraf siatik, paru-paru dan kulit.

Apabila ada di luar rahim, tisu endometrium menjadi pertumbuhan menyakitkan. Ia akan berubah bersama perubahan hormon ketika pusingan haid. Ketika haid, tisu ini juga akan pecah dan berdarah.

Bezanya, lapisan endometrium dalam rahim akan tanggal dan dikeluarkan bersama cecair uterin (sebagai darah haid) tetapi pendarahan daripada endometriosis tidak mempunyai jalan keluar. Pengumpulannya menyebabkan tisu di kawasan ia melekat menjadi radang dan berparut.

Sebagai tindak balas terhadap keadaan tidak normal ini, badan menghasilkan tisu parut untuk melingkungi tempat berkenaan. Keadaan ini menyebabkan wanita mengalami kesakitan dan tekanan pada pelvik atau senggugut setiap kali haid. Mereka juga akan berasa sakit ketika mengadakan hubungan seks.

Punca endometriosis masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi saintis percaya ia disebabkan aliran haid retrograd atau menyongsang; iaitu darah haid mengalir masuk ke dalam tiub Fallopian. Sel endometrium dalam darah haid akan melekat di tempat tertentu dan mula mendatangkan masalah.

Dianggarkan 10 hingga 20 peratus wanita mengalami gejala endometriosis sewaktu dalam peringkat subur. Walaupun ia biasanya berlaku di kalangan wanita berumur antara 25 hingga 40 tahun, endometriosis boleh dialami wanita bermula dari kali pertama mendapat haid hinggalah menopaus, tidak kira sama ada mempunyai anak atau tidak.

Semua gejala endometriosis mungkin kekal, berkurang walaupun tanpa dirawat atau meningkat dengan tiba-tiba. Namun biasanya gejala ini berkurang ketika mengandung atau selepas menopaus.

Bagaimanapun, ada wanita mempunyai endometriosis tanpa mengalami gejala. Malah, tahap kesakitan dialami juga tidak boleh dijadikan pengukur saiz endometriosis kerana ada wanita berasa sangat sakit walaupun endometriosisnya kecil dan sebaliknya.

Senggugut tidak harus dianggap perkara biasa, sebaliknya perlu diberi perhatian serius, terutama jika anda mengalaminya sejak mula mendapat haid. Masalah ini boleh berlaku pada bila-bila masa dan wanita boleh mengesan perubahan haid mereka pada usia lewat 20-an dan 30-an.

Selain masalah kesihatan, endometriosis boleh mempengaruhi kesuburan seseorang. Ini kerana kehadiran pertumbuhan endometriosis dalam tiub Fallopian misalnya boleh menghalang laluan telur dari ovari ke uterus untuk bersenyawa dengan sperma. Keadaan ini menyebabkan seseorang wanita sukar mengandung.

Kehadiran endometriosis menyumbang 10 peratus kepada masalah kemandulan dan dianggarkan 30 hingga 40 peratus wanita yang mempunyai endometriosis mengalami kesukaran untuk hamil.

Bahkan tisu parut yang terbentuk sebagai tindak balas terhadap kerengsaan daripada endometriosis akan kekal dan mungkin boleh menyebabkan kesakitan, walaupun selepas wanita putus haid.


Rawatan

Rawatan bukan saja bertujuan meringankan kesakitan dan gejala endometriosis, tetapi lebih penting ialah menyekat penyakit ini daripada merebak dan memulihkan kesuburan pesakit kerana kemampuan untuk mengandung dapat dipertingkatkan jika endometriosis dirawat.

Selain itu, rawatan awal membolehkan seseorang wanita mengekalkan fungsi organ pembiakan kerana pada peringkat yang teruk, doktor mungkin terpaksa menjalankan pembedahan pembuangan uterus dan ovari. Ini bermakna seseorang wanita akan putus haid cepat dan tidak berpeluang mengandung lagi.

Endometriosis boleh dirawat dengan menyekat tahap hormon estrogen dan progesteron yang merangsang pertumbuhan sel endometrium. Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu pengambilan ubat atau pembedahan.


a. Ubat

* Pil pencegah kehamilan

Biasanya endometriosis dirawat dengan pil pencegah kehamilan. Pil ini akan menghentikan pengeluaran telur dan kitaran haid pesakit buat sementara waktu. Ia dapat mencegah endometriosis daripada merebak dan mengurangkan kesakitan. Bagaimanapun, kaedah ini hanya sesuai jika endometriosis masih kecil.


* Hormon estrogen

Pemberian hormon ini, sama ada dalam bentuk pil atau suntikan pada dos tinggi, boleh mengganggu fungsi ovari dan mengurangkan rangsangan terhadap pertumbuhan endometrium. Bagaimanapun, ia juga hanya sesuai jika saiz endometriosis kecil.


* Derivatif hormon lelaki (testosteron)

Diambil secara oral boleh menghalang badan menghasilkan hormon estrogen dan menghentikan pertumbuhan sel endometrium.


b.Pembedahan

* Pembedahan konservatif

Bagi mengekalkan kemampuan wan++ita untuk mengandung. Biasanya dilakukan kepada wanita muda dan masih mahu mempunyai anak. Pembedahan ini akan membuang lapisan endometriosis atau ia dimusnahkan dengan laser.


* Pembedahan bukan konservatif

Hanya dilakukan jika semua cara di atas tidak berkesan. Ia termasuk sama ada membuang ovari saja, ovari dan uterus atau ovari dan tiub Fallopian. Dalam kaedah ini wanita tidak akan berpeluang untuk mengandung lagi.

Justeru, masalah endometriosis perlu ditangani di peringkat awal. Jika anda mengalami masalah senggugut yang teruk, segera jalani pemeriksaan.


Gejala

Gejala paling umum ialah:

# Kesakitan pelvik yang teruk ketika kitaran haid (sama ada sebelum, semasa atau selepas haid). Ada kala kesakitan menjadi lebih teruk pada penghujung haid.
# Sakit ketika mengadakan hubungan seks.
# Sakit dalam usus ketika haid.
# Sakit ketika buang air kecil.
# Abdomen (perut) kembung ketika haid.
# Pendarahan yang banyak atau tidak menentu.
# Kelesuan (akibat pendarahan terlalu banyak).
# Cirit-birit atau sembelit.

Pengambilan gula yang banyak dan alkohol serta kopi semasa haid boleh mengakibatkan senggugut. Wanita yang merokok lebih berisiko untuk mengalami senggugut berbanding yang tidak merokok. Rehat yang tidak mencukupi dan tekanan yang tinggi di tempat kerja dan sekolah boleh mengganggu keseimbangan bahan kimia di dalam badan seterusnya mengakibatkan senggugut.

Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan senggugut. Ada faktor yang tidak dapat dielak seperti gen tetapi faktor lain seperti diet boleh diubah. Jadi, sebenarnya senggugut boleh dicegah atau setidak-tidaknya boleh mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Wednesday, August 4, 2010

Panduan Menjaga Alat Sulit


Jangkitan Yang Berulang Boleh Merosakkan Sistem Peranakan

Dalam kehidupan seseorang wanita, penjagaan alat sulit atau alat kelamin amat penting kerana ia berkait rapat dengan pengeluaran darah haid, hubungan seks dan kehamilan.

Bahagian ini sensitif pada perubahan persekitaran terutamanya keasidan dan kealkalian (pH) kemaluan wanita. Perubahan ini samada disebabkan jangkitan kuman, penggunaan sabun atau faktor fizikal, persekitaran ataupun kebersihan diri. Seseorang wanita mungkin tidak selesa, gatal, mengeluarkan keputihan yang tidak normal atau berbau, bengkak alat kelamin dan kesakitan.

Menurut Dr. Siti Zaleha Ab. Rahim dari salah sebuah hospital swasta, wanita yang mempunyai tanda-tanda tersebut mudah dijangkiti kuman.

"Ia juga akan menjejaskan hubungan seks dan menimbulkan konflik antara suami dan isteri."

"Disamping itu, jangkitan kuman tertentu yang berulang boleh merosakkan sistem peranakan menyebabkan saluran fallopio tersumbat dan menjadikan seseorang itu sukar mendapat zuriat," katanya.

Ada beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan untuk menjaga alat kelamin atau reproduktif wanita.

Langkah-langkah penjagaan alat kelamin yang disyorkan:

Membersihkan bahagian luar kemaluan selepas buang air kecil atau air besar, seelok-eloknya menggunakan air.
Ketika haid, wanita dinasihatkan kerap menukar tuala wanita terutama pada hari-hari yang banyak darah keluar. Ini kerana darah adalah media yang sesuai untuk kuman membiak. Bagi wanita yang menggunakan tampon mereka perlu ingat untuk menukarnya.

Elak daripada sering mengamalkan douching iaitu memasukkan jari atau pancutan ke dalam faraj dengan tujuan membersihkan bahagian dalam faraj. Perbuatan ini akan menyingkirkan sejenis bakteria lactobacilli dari faraj disamping mendedahkan faraj dan bahagian luar kemaluan kepada bahan kimia yang boleh mengakibatkan iritasi kulit.

Elakkan menyabun atau menyapu shower gel pada alat kelamin kerana ia mungkin menyebabkan kekeringan dan iritasi kulit atau gatal. Sesetengah wanita sensitif dan alah pada pewangi dalam buih sabun.
Pasangan suami isteri digalakkan membersih alat kelamin dengan air sebelum dan selepas hubungan seks untuk kebersihan yang optima.

Amalkan membuang air kecil lebih kurang setengah jam selepas hubungan seks untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pundi kencing. Amalan ini berkesan untuk wanita yang sering mengalami jangkitan kuman pundi kencing (urinary tract infection).

Elakkan memakai pakaian dalam sentetik yang terlalu ketat kerana ia menyebabkan kulit berpeluh, tiada peredaran udara pada kulit dan akhirnya menggalakkan kuman membiak.
Pakaian dalam perlu ditukar setiap hari dan pada hari-hari mengalami keputihan, elok memakai panty liner supaya ia tidak melekat pada pakaian dalam yang menyebabkan ketidakselesaan.

Tambah Dr. Siti Zaleha lagi, jangkitan kuman sering berlaku sekiranya alat sulit tidak dijaga dengan sempurna. Ini termasuk kuman bakteria, virus, kulat dan protozoa yang dapat ditularkan melalui hubungan seks (sexually transmitted disease). Wanita dan pasangan perlu berjumpa doktor sakit puan untuk ujian pengesahan dan rawatan spesifik. "Paling kerap berlaku ialah jangkitan kuman atau fungus yang dipanggil candida. Ia dapat dirawat dengan memasukkan ubat antifungus ataupun ubat pil ke dalam faraj." Ujar beliau.

Kumpulan kuman lain yang sering menyerang wanita ialah bacterial vaginosis. Pesakit akan mengadu mengeluarkan lendir busuk (fishyodour discharge) dan kegatalan teruk. Ini dapat dirawat dengan antibiotik spesifik.

Katanya, wanita juga terdedah penyakit bengkak pada alat kelamin yang dipanggil bartholin cyst.

"Ia terjadi bermula dengan pembengkakan setempat pada bahagian bawah bibir kemaluan. Pada peringkat awal, pesakit mungkin tidak perasan kerana saiznya kecil. Cyst ini terbentuk akibat kelenjar Bartholin tersumbat dan bengkak yang sering terbentuk disebabkan jangkitan kuman bakteria."

"Ia dapat dikawal melalui pembedahan kecil pada cyst untuk mengeluarkan cecair yang terkumpul di dalam kelenjar tersebut. Sekiranya ia kerap berulang, dinasihatkan dibedah dan dikeluarkan," jelas Dr. Siti Zaleha lagi.

Bengkak nanah (abcess) dikaitkan dengan jangkitan kuman dan pesakit mengadu sakit serta demam. Rawatan adalah secara incisional dan drainage untuk mengeluarkan nanah dan pengambilan antibiotik.

Selain itu, bisul juga boleh terjadi pada wanita yang sering bercukur. Oleh itu, kebersihan pencukur perlu dititikberatkan.

Penyakit lain yang turut dikaitkan dalam masalah ini ialah barah pada bahagian luar alat kelamin (vulva dan vagina). Namun ia jarang terjadi berbanding barah pangkal rahim, rahim atau ovari. Ia merangkumi hanya 5 peratus daripada semua jenis barah sistem produktif wanita.

"Penyakit ini sering berlaku pada wanita yang telah menopaus dengan purata umur 60 tahun. Pesakit akan mengalami kegatalan berterusan yang teruk diikuti ketumbuhan atau ulser yang kerap bermula pada bibir luar kemaluan. Rawatan ini merangkumi pembedahan besar dan radioterapi," katanya.

Ketika mengulas mengenai kaitan penjagaan alat sulit dengan masalah keputihan, Dr. Siti Zaleha berkata keputihan kerap berlaku pada wanita dan penting sekali mereka tahu membezakan antara keputihan biasa dan yang berpenyakit.

"Keputihan yang normal boleh berlaku pada keadaan berikut iaitu beberapa hari sebelum tiba haid, ketika keghairahan seks, kehamilan dan klimakterik atau selepas menopaus."

"Begitu juga sebelum tiba haid dan ketika hamil atau belaku perubahan paras hormon yang meningkat. Semua ini menyebabkan banyak keputihan atau cecair jernih yang melekit keluar dari faraj," ujar Dr. Siti Zaleha.

Tanda-tanda keputihan yang berpenyakit termasuklah pertukaran warna dari jernih, putih ke kuning atau kehijauan atau berdarah. Sekiranya keputihan terlalu banyak, kadang-kadang ia keluar secara berketul-ketul kecil, gatal dan berbau. Tanda-tanda adalah seperti bengkak, pedih atau sakit pada alat kelamin. Sekiranya jangkitan merebak ke rahim atau sistem peranakan, wanita akan mengadu sakit pada bahagian bawah abdomen serta demam.

"Namun begitu, seelok-eloknya wanita yang mengalami masalah keputihan dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia berpenyakit atau tidak, supaya rawatan dapat diberikan sebelum penyakit serius," tambah beliau.

Dr. Siti Zaleha juga menjelaskan, kebanyakan wanita tidak memerlukan produk atau ubat penjagaan alat kelamin sekiranya langkah-langkah yang disarankan tadi diikuti dengan bijak. Ubat hanya perlu diambil bagi merawat jangkitan kuman dan keputihan yang tidak normal.

"Ada segelintir wanita berasa selesa dan puas apabila mereka membersih dan merawat alat kelamin dengan produk yang berada di pasaran. Mereka dinasihatkan memikir bahan pencuci yang tidak alergik, yang tidak mengubah pH faraj dan telah diuji kebersihannya."

"Sekiranya selepas menggunakan produk tersebut dan timbul rasa pedih, gatal atau kemerahan, wanita itu dinasihatkan tidak menggunakannya lagi dan berjumpa dengan doktor," katanya lagi.