Thursday, July 12, 2012

Kitaran haid perlu dihitung

Terkadang apabila para pesakit mengalami masalah pada kitaran haid, mereka akan datang berjumpa dengan para doktor dan soalan yang akan diajukan kepada para pesakit ialah, “Bilakah last period adik/ cik / puan?” Kebanyakan para pesakit akan menjawab, “Period saya kering pada….” atau “Saya mandi wajib pada….” Sebenarnya bukan itu jawapan yang dimahukan oleh doktor. Maksud soalan para doktor tadi ialah “ Bilakah tarikh last period adik/ cik/ puan bermula?” Rata-rata di antara mereka tidak ingat bilakah tarikh terakhir haid mereka bermula.

Oleh yang demikian, tabiat mencatit bilakah haid bermula dan berakhir ini perlulah diamalkan oleh setiap wanita yang masih mengalami haid. Tidak kisahlah jika hendak catit di dalam kalendar, diari mahupun telefon bimbit kerana tempoh kitaran haid kita sangatlah penting. Jika berlaku kitaran haid yang tidak stabil, lalu kita berjumpa dengan doktor. Kebiasaannya doktor ingin mengetahui kitaran haid kita dua atau tiga bulan sebelum ini.

Secara kebiasaannya kitaran haid kita ialah selama 28±5 hari. Kitaran haid terpendek boleh berlaku selama  21 hari dan kitaran haid terpanjang boleh berlaku selama 35 hari. Kitaran haid ini bermaksud hari pertama berlaku menstruasi/ haid  sehinggalah berlaku semula menstruasi/haid yang seterusnya. Misalnya seorang gadis datang haid pada 1 Januari dan kemudian dia datang semula haid pada 22 Januari. Ini bermaksud gadis itu normal bukanlah seperti yang biasa kita dengar haidnya tidak normal kerana dia datang 2 kali sebulan.

No comments: